Assalamualaikum..
Hari ini Wan ada cerita untuk korang semua..best gler cerita yang Wan nak kongsikan ni..Sedih pun ada..Tergamam pun ada.. Ikuti cerita ni tau..
Nabi Musa adalah
satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T. Setiap kali dia
hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke bukit Tursina. Di atas bukit itulah
dia akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan
menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi
lain.
Suatu hari Nabi Musa
telah bertanya kepada Allah. “Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang
akan berjiran dengan aku?”.
Allah pun menjawab
dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat
jawapan, Nabi Musa turun dari bukit Tursina dan terus berjalan menuju ke tempat
yang diberitahu. Setelah beberapa hari dalam perjalanan akhirnya sampai juga
Nabi Musa ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan
beberapa orang penduduk di situ beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah
memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.
Tuan rumah itu tidak
melayan Nabi Musa. Dia terus masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di
dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang
besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. “Apa
hal ini”, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.
Babi itu dibersihkan
dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilapkan sampai kering serta
dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia
keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi
itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk
serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke
dalam bilik.
Selesai kerjanya itu
barulah dia melayan Nabi Musa. “Wahai saudara! Apa agama kamu?”. “Aku agama
Tauhid”, jawab pemuda itu iaitu agama Islam. “Habis mengapa kamu membela babi?,
kita tidak boleh berbuat begitu.” Kata Nabi Musa.
“Wahai tuan hamba”,
kata pemuda itu. “Sebenarnya kedua babi itu adalah ibu bapa kandungku”. Oleh kerana
mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka
menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu
urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku
sebagai anak. Setiap hari aku berbakti kepada kedua ibu bapaku sepertimana yang
tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap
melaksanakan tugas aku.” Sambungnya.
“Setiap hari aku berdoa
kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah
mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi”.
Tambah pemuda itu lagi.
Maka ketika itu juga
Allah turunkan wahyu kepada Nabi Musa A.S. “Wahai Musa, inilah orang yang akan
berjiran dengan kamu disyurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada
kedua ibubapanya. Ibu dan ayahnya sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti
juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh di sisi Kami”.
Allah juga berfirman
lagi yang bermaksud: “Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh di
sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan
dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga”.
Itulah berkat anak yang
soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke dalam
neraka pindah ke syurga. Dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun
hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa
kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk
sekali pun perangai kedua ibu bapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita
ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita
sewaktu kecil hingga dewasa.
Walau banyak mana
sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita
ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T. supaya kedua ibu bapa kita diampuni
oleh Allah S.W.T.
Doa anak yang soleh
akan membantu kedua ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah
yang dinanti-nantikan oleh para ibu bapa di alam kubur.
Erti sayang seorang
anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang
seorang anak pada kedua ibu bapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibu
bapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.